Pages

Terdapat dua cabang penulisan iaitu kreatif dan deskriptif. Bidang penulisan kreatif terdiri daripada novel, cerpen, drama dan puisi. Manakala penulisan deskriptif terdiri daripada rencana, makalah, esei atau buku umum. Kedua-dua cabang penulisan ini adalah kompleks dan mempunyai kelebihan yang tersendiri. Bidang penulisan kreatif seperti novel menjanjikan pulangan material yang tinggi. Oleh sebab itu, kelahiran penulis muda yang memilih genre novel popular umpama cendawan yang tumbuh selepas hujan. Walaupun ada ketikanya tidak dibayar dengan harga setimpal sekiranya sesebuah novel itu diangkat menjadi drama televisyen, namun sirkulasi jualan novel semakin bertambah selepas mendapat tempat di hati peminat. 
 
            Hadiah paling tinggi menanti penulis ialah apabila beliau diangkat menjadi Sasterawan Negara (SN). Pada masa ini, kerajaan Malaysia memberi ganjaran sebanyak RM60,000 serta beberapa imbalan lain seperti penerbitan buku dan kemudahan untuk berkarya dengan DBP.  

Di peringkat dunia pula, hadiah paling tinggi yang ditawarkan ialah Anugerah Nobel yang mana pemenang akan menerima sebutir pingat emas, diploma serta wang tunai bernilai 10 juta krona Sweden atau bersamaan dengan USD 1.3 juta. Antara pengarang-pengarang bertuah yang pernah mendapat hadiah ini ialah Muhammad Iqbal, Jean Paul Sartre, Gabriel Garcia Marquez, Orhan Pamuk, Rabinranath Tagore dan Toni Morrison. Kebanyakan pengarang besar dunia ini menceburi bidang penulisan novel. Namun, tidak semua orang bertuah untuk menerima anugerah yang paling berprestij ini. 
Zaidi Ismail dalam majalah Dewan Bahasa (Oktober 2011) melaporkan bahawa Ain Maisarah memperoleh royalti lebih RM100,000 pada tahun 2010. Dr. Danial Zainal Abidin pula menjana pendapatan lebih kurang RM80,000 pada tahun 2008 manakala Ramlee Awang Mursyid lebih setengah juta sepanjang tempoh lebih kurang 8 tahun menulis. Sekiranya gaji penjawat awam atau swasta sekitar RM4,000 sebulan, bermaksud pendapatan tahunan yang dikumpul ialah RM48,000 setahun. Angka ini jauh lebih kecil berbanding pendapatan penulis yang bukunya mencapai taraf bestseller.

            Pada masa ini, anggaran kasar royalti yang diterima oleh penulis novel ialah sekitar 10%. Dengan kata lain, seseorang novelis itu akan mendapat sekitar RM2 untuk sebuah novel yang berharga RM20. Ini bermaksud, seseorang penulis akan mendapat sekitar RM30,000 sekiranya bukunya dicetak sebanyak 15,000 naskhah. Angka ini tidak mustahil kerana terdapat ramai novelis yang telah berjaya membuktikannya. Antaranya ialah Aisya Sofea dengan novel Kau Untukku (2002) yang terjual 80,000 naskhah, Nia Azalea dengan novel Kau Yang Satu (2002) yang terjual 75,000 naskhah, Sharifah Abu Salem dengan novel Tak Seindah Mimpi (2000) yang terjual sebanyak 70,000 naskhah manakala novel Bicara Hati (2003) oleh Damya Hanna yang terjual sebanyak 100,000 naskhah. Dengan jualan sebanyak 100,000 naskhah ini, royalti yang diperolehi oleh penulis adalah sekitar RM200,000.
            Selain penulisan novel, penulisan drama juga turut menjanjikan pendapatan yang lumayan bagi mereka yang serius menjadikan bidang ini sebagai kerjaya. Berikut ialah bayaran yang akan diperolehi bagi mereka yang berkecimpung dalam bidang ini:

Jadual 5: Bayaran Untuk Produser Drama di Malaysia
DURASI
SALURAN
RTM
ASTRO
MEDIA PRIMA
30 Minit
RM22,000 – RM23,000
RM18,000 – RM20,000
RM18,000 – RM20,000
60 Minit
RM42,000 – RM43,000
RM40,000
RM35,000 – RM37,000
90 Minit
RM100,000 – RM110,000
RM85,000 – RM90,000
RM85,000 – RM89,000

Setiap genre penulisan mempunyai kelemahan dan kelebihan tersendiri. Justeru, setiap pengarang perlu mengenalpasti kelebihan masing-masing serta genre yang berpotensi untuk diceburi secara serius. Seseorang penulis kreatif berpotensi mendapat enam (6) pendapatan hasil daripada penulisan. Berikut merupakan rentetan pendapatan yang akan diperolehi oleh penulis sekiranya menghasilkan karya yang berkualiti.

        i.            Honorarium pertama akan diperoleh sebaik sahaja cerpen seseorang itu tersiar dalam akhbar dan majalah seperti Dewan Sastera, Tunas Cipta, Mingguan Malaysia atau Berita Minggu. Anggaran honorarium untuk sebuah cerpen ialah antara RM200. Kumpulan Utusan juga turut menimbangkan Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) sekiranya karya itu tersiar dalam akhbar atau majalah kumpulan. Angaran hadiah HSKU ialah RM2,000.
      ii.            Cerpen-cerpen eceran ini setelah mencukupi bilangan (15 buah misalnya) berpotensi untuk dibukukan dan dihantar untuk penerbitan oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) atau Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Bayaran kedua untuk penulis adalah dalam bentuk royalti. Anggaran royalti ialah sekitar RM5,000.
    iii.            Habuan ketiga yang mungkin diterima oleh penulis setelah buku itu diangkat untuk memenangi hadiah penulisan peringkat negeri. Misalnya Hadiah Sastera Darul Takzim (HSDT) yang diuruskan oleh Yayasan Warisan Johor (YWJ). Anggaran hadiah ini ialah sekitar RM2,000.
    iv.            Kumpulan Cerpen ini berpotensi untuk dihantar kepada sekretariat Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) dengan hadiah utama bernilai RM10,000 untuk kategori dewasa manakala RM5,000 untuk kategori remaja. Inilah hadiah keempat yang mungkin akan diperolehi oleh penulis.
      v.            Bayaran kelima akan diperoleh oleh penulis sekiranya buku ini dipilih oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) untuk dibeli secara pukal (Sekitar 500 atau 1000 naskhah) untuk disedarkan keseluruh perpustakaan termasuk perpustakaan desa di Malaysia.  Anggaran bayaran kelima ini adalah lebih RM10,000.
    vi.            Akhir sekali, bonus tambahan menanti penulis sekirannya salah sebuah cerpen yang termuat dalam buku itu terpilih untuk dijadikan teks KOMSAS. Anggaran bayaran yang menanti penulis ialah RM25,000.
            Bayaran ini tidak akan berhenti di situ sahaja. Penulis akan terus mendapat royalti sekiranya buku tadi diulang cetak oleh DBP atau ITBM. Seseorang pengarang itu berhak untuk terus mengecapi royalti selagi buku itu dicetak dan dibeli. Bagi penulis yang bernasib baik, tidak mustahil PNM membeli terus daripada penulis dengan harga dan bilangan yang tinggi. Menurut Jeniri Amir (2007), pada 2006, seorang penulis buku politik dan biografi meraih lebih daripada RM300,000 apabila bukunya laris di pasaran dan lima buah bukunya dibeli purata 2,000 naskhah bagi setiap tajuk oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM).
            Bagi karya yang terpilih untuk dijadikan teks KOMSAS pula, penulis novel akan mendapat bayaran sekitar RM90,000 hingga RM140,000. Manakala penulis cerpen dan puisi masing-masing akan mendapat sekitar RM25,000 dan RM16,000. Nilai ini sudah pasti satu nilai yang besar untuk pengarang kreatif terutama mereka yang menulis sastera serius seperti cerpen dan puisi.
            Tempias penerbitan buku sebenarnya tidak hanya menimpa penulis. Malah, turut dikongsi oleh mereka yang turut terlibat dalam lapangan ini. Ini termasuklah perekabentuk, editor, penilai, pengedar, dan jurujual. ITBM misalnya membayar RM500 untuk setiap rekabentuk kulit buku yang dihasilkan. Panel luar yang dilantik untuk membuat penilaian pula akan dibayar sekitar RM300 – RM800, bergantung kepada manuskrip. Manakala bayaran membuat layout pula ialah sekitar RM8 untuk setiap muka surat termasuk pembetulan demi pembetulan yang dibuat. Sebagai contoh, seorang pereka bentuk yang membuat susun atur teks akan mendapat sekitar RM1600 untuk sebuah buku dengan ketebalan 200 muka surat. Bagi editor luar pula, mereka akan dibayar RM0.03 untuk setiap perkataan. Sebagai contoh, sebuah buku dengan jumlah 50,000 perkataan akan dibayar sebanyak RM1,500.
            Setelah buku diedarkan, pengedar pula akan mengambil komisyen sekitar 40% - 60% untuk setiap buku. Atau dengan kata lain, sekiranya buku tersebut berharga RM30, pengedar akan mendapat sekitar RM15 untuk setiap buku sekiranya komisyen yang dibayar ialah 50%.  Bagi bidang terjemahan karya kreatif pula, DBP membayar RM120 untuk menterjemah puisi pendek sekitar 1 halaman daripada bahasa Melayu ke Bahasa Inggeris. Manakala RM100 daripada bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu. Bayaran ini cukup lumayan kerana ada penterjemah yang mendapat sekitar RM10,000 untuk menterjemah sebuah kumpulan puisi yang mengandungi 100 buah puisi. Jelas bahawa nikmat serta rezeki menulis bukan sahaja untuk pengkarya, malah turut dikongsi bersama orang lain.
Sebenarnya, peluang buat duit dengan idea penulisan tidak terhad kepada dunia buku atau majalah sahaja. Pada tahun 1996, dengan slogan “Skim bayaran paling mudah harga munasabah pilihan meriah kemewahan terserlah”, Ghazali Lateh telah berjaya memenangi sebuah rumah teres 2 tingkat yang berharga RM150,000. Ternyata, tuah menulis slogan turut menjanjikan pulangan material yang lumayan. 
            Sementara itu, Zukarfli Mohamad pula pernah memenangi sebuah MPV Perodua Alza 1.5 BX (Smart Ride) hasil menulis slogan dalam Peraduan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada tahun 2012 dengan slogan “Institut Terjemahan & Buku Malaysia mampu membangunkan industri buku negara dengan membongkar khazanah ilmu segenap dimensi, memperbanyak terjemahan yang bervariasi, melahirkan karya kreatif mengutamakan kualiti, menarik minat membeli buku dengan harga promosi, menggalak masyarakat membaca supaya ilmu dimiliki, memperkasa minda rakyat setiap generasi.”
            Sebagai tambahan, Norsholihan Abdul Eanich pula berjaya membawa pulang sebuah kereta Proton Exora hasil peraduan mencipta jenama kereta Proton tersebut. Dengan satu perkataan, “Exora”, Norsholihan berjaya memenangi sebuah kereta Proton Exora yang dianggarkan bernilai RM80,000.
            Selain itu, ITBM juga turut menawarkan hadiah percutian ke United Kingdom dalam salah sebuah peraduan penulisan sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Manakala Marsli N.O. berpeluang untuk mengikuti Kongres Penyair Sedunia ke Peru secara percuma pada tahun 2014 hasil menulis sebuah puisi.
            Satu lagi bidang yang kurang diketahui orang ialah peluang-peluang membuat duit dengan menulis buku teks. Mengikut sumber, seorang penulis yang terlibat dalam penghasilkan buku teks untuk sekolah berpotensi mendapat bayaran lebih kurang RM60,000. Ini sejajar dengan syarat ketat yang dikehendaki oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia.
            Antara peluang-peluang lain yang jarang diketahui umum ialah buat duit dengan iklan, upah menulis biografi tokoh politik tertentu, teks ucapan, dan lain-lain.
            Kalau dahulu, bidang peanulisan seolah-olah menjadi hak milik ekslusif golongan penulis atau lulusan bahasa dan sastera sahaja. Mereka yang ingin menjadi editor atau penulis mestilah terdiri daripada lulusan yang berkaitan. Namun kini, penulisan seolah-olah  Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA). Sesiapa sahaja bebas untuk menulis di wilayah penulisan. Masing-masing perlu bersaing untuk mendapat tempat di akhbar, majalah atau penerbit. Golongan karyawan perlu bersaing dengan jurutera, peguam, arkitek, doktor, guru, pensyarah yang mempunyai bakat menulis.
            Antara sebilangan kecil penulis yang menjadikan bidang penulisan sebagai kerjaya utama ialah Hashim Latiff, Norhisham Mustapha,  Nisah Haron dan lain-lain. Menjadikan penulisan sebagai kerjaya utama memerlukan kepada komitmen yang tinggi. Tidak ramai penulis di Malaysia mampu bertahan lama dengan kerjaya sebagai penulis sepenuh masa kerana kekangan-kekangan yang tertentu. Tambahan, kadang-kadang penerbit tidak serius atau tidak membayar royalti yang setimpal hasil penat lelah penulis. Justeru, hanya mereka yang berhati waja sahaja mampu untuk kekal.
            Di Malaysia, seseorang penulis kreatif sepenuh masa tidak akan mampu bertahan sekiranya hanya menulis cerpen atau puisi. Ini kerana, bayaran untuk sebuah puisi dan cerpen masih rendah. Misalnya, sebuah puisi dibayar sekitar RM50 manakala cerpen pula RM200. Tidak mustahil seseorang penulis puisi atau cerpen mempunyai stamina yang tinggi dengan kemampuan menghasilkan lebih 10 cerpen sebulan. Namun, ruang di akhbar dan majalah adalah terhad. Lagipun, editor perlu juga memberi peluang yang sama rata kepada penulis lain. Editor tidak boleh hanya menyiarkan penulis yang sama.
            Justeru, penulis perlu menulis dalam multi genre. Mereka tidak hanya boleh menumpukan kepada genre yang sama sahaja. Kelebihan menulis dalam semua genre seperti rencana, novel, skrip drama atau buku umum sudah tentu menjanjikan pulangan yang lebih lumayan. Berdasarkan angka-angka juala hasil menulis novel atau buku umum, sudah pasti menjadikan penulisan sebagai kerjaya tidak menjadi masalah.
            Menjadi wartawan sambilan juga turut menyumbang kepada pendapatan yang memuaskan. Misalnya, salah sebuah akhbar ternama membayar sekitar RM0.26 untuk satu perkataan. Untuk setiap berita pendek, seseorang wartawan sambilan itu akan dibayar sekitar RM60. Untuk berita bergambar pula, harga sekeping gambar dibayar RM35. Katakan seseorang wartawan sambilan berupaya menyiapkan sekitar 3 buah berita pendek bergambar, beliau akan mendapat sekitar RM200 dalam masa satu hari. Angka ini sudah cukup tinggi bagi mereka yang bekerja dari rumah tanpa perlu terikat dengan komitmen organisasi.
Sebenarnya, ramai penulis di Malaysia memilih untuk menerbitkan sendiri karya. Antara penulis yang memilih untuk menerbitkan sendiri karya ialah Sasterawan Negara A. Samad Said (Wira Bukit Sdn. Bhd.), Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin (Citra Kurnia), S.M. Zakir (NusaBuku Enterprise), Khadijah Hashim (K Publishing), Baha Zain (Pustaka Cipta Sdn. Bhd.), Leo A.W.S (Pustaka Dewan Puisi), Irwan Abu Bakar (Esastera Enterprise) dan lain-lain.
            Faktor utama mereka memilih untuk menerbitkan karya sendiri antaranya ialah karenah birokrasi, faktor edaran yang tidak meluas, serta bayaran royalti yang tidak setimpal. Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin dalam wawancara bersama penulis melalui FB mengakui bahawa faktor beliau menerbitkan sendiri karya adalah disebabkan oleh faktor penerbit yang kurang berminat untuk menerbitkan esei sastera. Namun, menerbitkan sendiri karya belum tentu menjanjikan penulis tidak ditipu pengedar. Antara cabaran-cabaran utama ialah pengedar mendesak komisen yang tinggi sehingga 50% daripada harga jualan. Penyelewengan lain yang dilakukan oleh pengedar ialah memulangkan buku yang tidak laku sedangkan dalam perjanjian tidak dipulangkan. Malah lebih teruk, pengedar menyeleweng dengan mengaut keuntungan berganda dengan menjual buku dengan harga yang lebih tinggi. Misalnya, dalam perjanjian komisyen yang dipersetujui ialah 50%. Bagi buku yang berharga RM20, sepatutnya penulis akan mendapat RM10, manakala pengedar pun akan mendapat RM10. Namun, pengedar menjual dengan harga RM30 dan mengaut kuntungan RM20 sedangkan penulis tetap mendapat RM10 untuk sebuah buku.
Pada suatu waktu dahulu, penulisan di blog sama ada menggunakan blogspot atau wordpress menjadi pilihan ramai. Ini termasuklah para penulis yang sempat membukukan tulisan-tulisan di weblog dalam bentuk bercetak. Zaman kegemilangan blog diganti pula dengan kehadiran android dan pelbagai aplikasi canggih. Kini, orang sudah beralih kepada Facebok, Twitter dan lain-lain. Sama halnya dengan penghasilan e-Book. E-Book ternyata masih lagi menjadi pilihan pembaca sebagai media pilihan. Struktur fizikal buku dengan kulit yang mengancam, susun atur yang cantik, ilustrasi yang menawan termasuk bau kertas ternyata menjanjikan. Namun, tidak ramai yang menyedari bahawa buku elektronik ini sebenarnya turut menyumbang kepada pendapatan yang besar.
            Salah seorang usahawan internet yang terkenal mengakui bahawa beliau berjaya mengumpul puluhan ribu ringgit dengan hanya menjual sebuah e-book. Dengan duit itulah beliau membayar pinjaman PTPTN dan melangsungkan perkahwinan. Sekiranya anggaran kasar pinjaman PTPTN itu berjumlah RM25,000 manakala kos kasar untuk melangsungkan perkahwinan ialah RM25,000, bermakna dia telah memperolehi lebih RM50,000 untuk tahun pertama. Usahawan internet tersebut mengakui bahawa beliau masih memperoleh duit hasil daripada e-book itu walaupun sudah beberapa tahun diterbitkan.
            Seharusnya, kita tidak boleh begitu skeptikal dengan kerjaya sebagai penulis. Terdapat ruang dan peluang yang begitu besar menanti sesiapa sahaja yang berani merebut peluang yang tersedia. Bagi mereka yang gigih menulis, mereka bukan sahaja turut membantu menjana pendapatan untuk diri sendiri, malah untuk mereka yang terlibat di sekitarnya. Sudah sampai masanya untuk kita merebut peluang dan membuktikan bahawa kejaya penulis bukanlah kerjaya mudah yang boleh dipandang enteng.